Wednesday 13 November 2013

Hari Kedua di Seoul

Pagi yang penuh segar kami mulakan dengan bersarapan di dapur hostel. Jumpa pula orang Malaysia! Ada seorang auntie dan anaknya berbangsa Cina yang mula-mula menegur kami. Mungkin sebab kami memang muka Melayu tulen kot. Hehe.. Banyak yang kami bualkan. Auntie tu bagi tips untuk berjalan-jalan di Seoul. Beliau memang seorang yang peramah. Sungguh, saya memang seronok apabila berjumpa warga senegara apabila melancong ke mana-mana (oversea). Rasa dekat dengan Malaysia. Nasihat saya kepada yang ingin melancong ke luar negara; kalau terjumpa orang Malaysia, ringan-ringankan bibir untuk senyum. Walaupun tidak tegur, senyumlah. :)

Hari ini lawatan bersejarah. Kami ke tempat-tempat yang bersejarah di Seoul. Banyak berjalan. Matahari memancar terik. Saya rasa seperti musim panas di UK padahal sudah musim luruh. Apa yang saya perasan ialah musim di Korea lambat sikit daripada UK. Kalau di Leicester waktu begini suhu sudah di sekitar 10 darjah Celcius.

Cadangannya kami akan ke Kyongbuk Palace tetapi apakan daya istana ini tutup pula. Jadi kami ke Gwanghwamun Square dan King Sejong Museum. Esoknya baru ke istana ini. Muzium ini terletak di bawah tanah, Masuk percuma. Di sini saya melawat sejarah tinggalan raja paling berpengaruh di Korea iaitu King Sejong. Siap tengok 4D movie mengenai sejarah seorang pahlawan Korea (saya lupa namanya). Jangan risau kerana ada sarikata bahasa Inggeris.

Saya belajar tulis nama dalam tulisan Korea di sini. Free of charge!


Kemudian kami makan di Lotteria yang ada di sekitar Seoul. Makan burger sotong atau udang sahajalah sebab itu je yang halal. Solat di Tourist Information Centre. Ada prayer hall di sini untuk Muslim. Mudahnya solat hari ni! Hari yang berikutnya agak mencabar.

Di sini ada kemudahan untuk pelancong termasuk prayer hall


Sebelum makan malam kami ke Cheongae Stream. Tentu ada yang pernah dengar mengenai sungai di Seoul yang dinaiktaraf dan dijadikan indah, bersih dan cantik . Kalaulah Sungai Kelang dijadikan sebegini, saya orang pertama yang setuju 100%! Lama kami di sini menikmati kemodenan teknologi dan keindahan sungai yang siap ada ikan dan yang paling best; berada di tengah-tengah kesibukan bandar Seoul. Saya membayangkan seronoknya dapat jogging di tebing sungai begini. Sewaktu di Leicester ada juga sungai kecil  yang cantik tidak jauh dari rumah, tapi sebab ada gym, tak pernah pun jogging di situ! Hehe... Balik Malaysia baru menyesal.


Akhirnya kami ke City Hall. Bangunan macam DBKL kot. Ambil gambar, lepak-lepak sebelum makan malam. Kawasan ni di tengah-tengah bandar dan ada padang besar di hadapannya. Saya membayangkan kalaulah ini UK, mesti penuh padang ni dengan manusia yang sun-tanning bila saja ada mataharu muncul terik.

Ada dalam salah satu episode Running Man! :)

Makan malam ni memang terbaik! Ikan bakar dan sotong masak cili. Selalu tengok dalam tv cerita Korea je. Sekali dapat makan, terbaikk! Lantaklah saya ada allergic seafood ke apa ke. Saya telan je. Oh teringinnya nak makan lagi!

Saya akan kembali untuk ini!

Saya pergi bersama kawan yang fasih berbahasa Korea jadi bab makan makanan yang halal, tiada masalah. Halal dan sedap! Jemput ke website beliau untuk pengalaman ke Korea yang santai dan makan makanan Korea yang sedap! Lurima Travel

Dalam kekenyangan, kami pulang ke hostel untuk tidur. Ah, sedapnya sotong tu!

Thursday 7 November 2013

Hari pertama di Seoul

Saya memulakan perjalanan ke Seoul menaiki pesawat AirAsia X dari Lapangan Terbang Kos Rendah (LCCT) pada jam 8 pagi. Keluar awal dari rumah dan sarapan nasi goreng yang emak bekalkan di sana. Biasanya sebelum naik kapal terbang saya tak makan makanan berat tapi sebab awal pagi, takut gastrik pula nanti, jadi saya makan juga.

Di sana saya berjumpa pertama kali dengan Kak Diana yang menjadi room mate saya sepanjang di Seoul. Saya dapat kawan baru! Disebabkan saya sudah banyak kali menaiki kapal terbang, sekarang saya sudah tidak kisah dapat tempat duduk di mana-mana sahaja. Kalau dulu mesti saya akan pilih window seat tapi sekarang sudah tak kisah sangat.

Perjalanan ke Seoul dari LCCT mengambil masa hampir enam jam. Saya, langsung tidak tidur sepanjang perjalanan. Semuanya sebab saya tidur awal malam tu, jadi sudah tidak mengantuk. Saya habiskan masa dengan membaca dan main Candy Crush. J

 Sampai sahaja di Incheon Airport (ICN), saya dan Kak Diana melalui imigresen dan keluar ke balai ketibaan. Rakan saya sudah awal-awal berada di sana untuk menjemput kami. Perkara pertama yang kami lakukan ialah mencari prayer hall. Lama juga mencari dan akhirnya jumpa prayer hall untuk Kristian dan Buddha. Rakan saya yang mahir selok belok ICN tidak ada jadi kami tidak tahu prayer hall untuk umat Islam boleh bersolat ialah di bahagian dalam, bukan selepas keluar di balai ketibaan.

Saya beberapa kali solat di prayer hall lapangan terbang sekitar UK. Biasanya prayer hall di sana ialah Multi Faith Prayer Hall. Semua agama boleh solat di situ. Tapi di ICN, saya terkedu bila prayer hall nya diasingkan mengikut agama. Kali pertama saya jumpa. Apabila melepasi ruangan sembahyang agama Buddha, seorang pakcik yang menjaga di situ menjemput kami masuk selepas bertanya sama ada kami dari Malaysia. Saya angguk.

Dalam keadaan nak cepat, dan tak tahu mana lagi nak solat, akhirnya kami masuk melihatkan kesungguhan pakcik tadi. Dia tidak boleh berbahasa Inggeris. Namun disebabkan ‘excessive exposure’ (heh?) saya terhadap drama dan rancangan berbahasa Korea, saya faham apa yang dia cakapkan. Cuma saya tidak mampu membalas melainkan bertanya ‘di mana tandas?’ dalam bahasa Korea.

Saya ambil wuduk dan solat di situ selepas mencari kiblat menggunakan application di ipad. Saya tidak pandang kiri dan kanan langsung. Selepas siap solat, pakcik tadi bertanyakan nama kami untuk diisi di dalam buku lawatan. Saya beritahu nama saya Lisa. Nurisha mungkin susah untuk ditulis, begitu yang saya fikir waktu tu.  Kami keluar selepas mengucapkan terima kasih.

Kontroversi? Saya sendiri tidak tahu hukum solat di kawasan solat agama lain. Sungguh waktu itu saya hanya fikir hendak solat sahaja. Pakcik itu pula sungguh sungguh menjemput. Jadi? Entah.


Selesai solat kami menuju ke stesen MRT. Sistem pengangkutan awam di sini sama sahaja dengan London. Jadi saya tidak berasa asing. Dari ICN, kami menaiki MRT ke stesen Hondae untuk makan malam sebelum ke hostel. Di Hondae, rakan saya yang tinggal selama lima tahun di Korea menjemput kami. Kami dibawa ke Hello Kitty CafĂ©. Pink, pink everywhere! Saya minum Ice Americano di situ dan membuang waktu dengan mengambil gambar. Tandasnya pun cantik dan pink.  

Hello Kity Cafe di Hondae

Selepas lebih setengah jam, kami ke restoran ‘nasi goreng korea’ untuk menikmati makan malam. Nasi goreng dimasak dihadapan kami jadi kami tahu apa bahan yang digunakan. Pertama tukang masak memasukkan butter. Kemudian udang, sotong dan daun bawang. Akhir sekali baru nasi, seaweed dan sos merah. Kacau punya kacau, siap untuk dimakan!

Seronoknya makan di restoran korea ialah side dishes nya. Ada kimchi, sup lobak putih, dan kubis yang boleh ditambah-tambah. Saya suka sayur, jadi side dishes ni memang mengiurkan! Dan juga, tiada air manis dibancuh disediakan (teh ais, sirap ais, laici ais, dan lain-lain tidak ada). Yang ada hanya air kosong.  Pilihan yang sihat! (Soju, beer dan arak lain tetap ada)

Nasi goreng ini hampir serupa dengan 'paella' yang pernah saya makan di Spain.

Hondae Street berdekatan dengan Art University (saya tidak pasti namanya) jadi di sini banyak kelihatan pelajar-pelajar jurusan seni dengan pakaian yang unik dan berjalan dengan alat muzik. Pilihan pakaian, kasut dan perhiasan di sini menggetarkan naluri wanita. (Perempuan kan suka shopping!) Saya hanya bawak KRW160 = RM500 sahaja untuk belanja poket. Lagi pun tujuan utama saya bukan untuk membeli belah, jadi sekadar tengok-tengok sahaja, bolehlah.

Kenyang makan, kami ke hostel yang akan menjadi tempat tiggal selama lima malam. Hostel Korea. Budget Hotel. Selama ber ‘backpacking’ di beberapa negara sebelum ini, saya dan rakan-rakan akan memilih untuk tinggal di hostel yang murah. Bila tidak ada hostel baru kami akan tinggal di hotel. Itupun yang murah juga. Rasionalnya mudah. Hotel jadi tempat tidur dan mandi sahaja. Yang biasa-biasa sudah memadai.

Hari pertama banyak dihabiskan dengan perjalanan sahaja. Perjalanan sebenar bermula keesokan hari!