Tuesday 3 December 2013

Hari Ketiga di Seoul


Memandangkan semalam Istana Kyungbok tutup, jadi pagi-pagi lagi kami menuju ke istana ini menaiki bas awam. Jam sebelas sudah ramai orang. Sebelum masuk, kami menonton upacara pertukaran pengawal. Mendengar penerangan rakan saya mengenai upacara ini, saya terus teringat kawad pertukaran pengawal di Buckingham Palace, London yang pernah saya lihat dua kali. Cuma bezanya di sini, pengawal memakai pakaian tradisional pengawal zaman dahulu. Berwarna warni dan siap dengan pedang (replika) dipegang. Selepas selesai upacara, pengunjung boleh mengambil gambar dengan pengawal-pengawal itu.



Istana ini LUAS. Kalau hendak menikmati setiap sudutnya, boleh memakan berjam-jam. Kalau hendak saya umpamakan, hampir seluas Topkapi Palace di Istanbul (dengan landskap yang sangat berbeza tentunya) Musim luruh menampakkan wajahnya dengan warna daun berubah kepada oren kemerahan. Cantik. Memang cantik. Istana ini adalah antara destinasi wajib lawat jika ke Seoul.

Kemudian kami makan tengah hari di sebuah restoran pizza. Pizza School namanya. Kami makan pizza kentang dan sweet potato (tak pasti nama dalam bahasa Melayu) Sedap! Pizza sweet potato sungguh manis dan menggoda. Makanan vegetarian boleh sahaja sedap begini.



Selepas kenyang, kami ke Namsangol Hanok Village. Di sini terdapat semua jenis rumah tradisonal Korea yang dibina untuk pelancong dapat mengetahui dengan lebih dekat rumah-rumah ini tanpa perlu ke kawasan kampung. Saya suka betul apabila dapat mencuba pakaian tradisional Korea yang bernama Hanbok berwarna pink!





Kami naik bas lagi ke Namsan Tower pula. Saya sangat sukakan warga Korea yang  rajin berjalan kaki dan mendaki bukit sebagai senaman. Namsan Tower berada di atas bukit. Sepanjang dari dalam bas ke puncak bukit, saya dapat lihat ramai yang menaiki bukit ini dengan berjalan kaki sahaja. Alangkah seronoknya kalau Malaysia mempunyai bahu jalan yang mesra pejalan kaki begini.  Saya kalau hendak bersenam, perlu ke taman berdekatan rumah. Itupun kecil dan dikongsi dengan ramai orang. Haihh..

Di Namsan Tower ada Teddy Bear Museum. Sebelum masuk ke museum comel ini, saya mencari-cari tempat dan ruang yang boleh solat. Agak sukar. Cari punya cari saya jumpa bilik breast feeding. Kira ok lah. Rezekinya, ada seorang perempuan Melayu yang masuk untuk menyusukan bayinya, jadi saya dan Kak Diana tak kekok sangat. Kami solat menghadap kiblat di kerusi yang disediakan bersebelahan dengan kakak yang menyusukan bayinya. Berada di negara orang bertahun, mengembara ke negara bukan Islam beberapa kali, saya menjumpai hikmah yang besar; ‘Allah akan tolong kalau kita benar-benar mahu solat walau di mana pun.’



Selepas solat, barulah rasa lega untuk terus berjalan. Kami ke  Teddy Bear Museum yang teramatlah comel. Ambil gambar dan melihat keletah patung beruang yang bergerak dan menari. Sesiapa yang sukakan teddy bear, wajib datang sini. Rasa muda! 

Kemudian tentunya kami menaiki lif ke puncak Namsan Tower. menara ni rendah sahaja, tidaklah setinggi menara Kuala Lumpur walaupun bentuknya hampir sama. Saya sekejap sahaja berada di atas sebab hari sudah gelap. Pemandangan yang dapat dilihat ialah lampu-lampu saja.

Sebelum pulang, kami ke kawasan yang popular menjadi tempat 'couple' meletakkan padlock di situ. Biasa tengok dalam drama Korea, kan? Saya tidak mahu membazir membeli padlock, jadi hanya ambil gambar sahaja. Orang kata dah datang Namsan Tower, tulislah nama di padlock, kunci di situ. Saya? Saya rasakan ia tak perlu. Jadi saya tak buat.



Sebelum pulang, kami makan malam di restoran tempatan yang terletak berhampiran hostel. Saya memesan bibimbap, sejenis makanan korea yang ada nasi dan pelbagai jenis sayur dicampur dengan sos khas dan telur goreng. Saya sukakan sayur! Jadi hidangan ini tepat untuk saya.



Nanti saya nak cubalah makanan ni. Kalau jadi, saya post di blog ya. =)

No comments:

Post a Comment