Friday 30 December 2011

Kembali ke dunia nyata

Lima hari berada di Italy membuatkan saya rasa TAKNAK balik UK semula. Bukanlah kerana Italy begitu menarik tetapi sebab taknak menghadapi exam. In denial mood!

Jujur saya jauh menyukai Spain dari Italy. Mungkin kerana saya sebagai orang Islam, tidak berasa dekat dengan gereja-gereja dan muzium yang menayangkan patung orang bogel di sana sini. Ketika di Spain, gereja-gereja adalah tinggalan masjid jadi masih ada ayat Al-Quran yang dikekalkan di dindingnya.

Berada di Venice, ramai manusia memandang kumpulan kami yang semuanya bertudung dengan pandangan yang kurang menyenangkan. Sehingga saya rasa tidak selesa. Kami buat selamba sahaja. Lantak merekalah. Saya datang untuk melancong bukan untuk buat kacau pun.

Apa yang mahal di Italy ialah pengangkutannya. Kami bergerak dari Rome ke Florence ke Venice menaiki keretapi Trenitalia. Saya membelanjakan hampir 100 Euro untuk pengangkutan sahaja. Kos yang lebih mahal dari tiket kapal terbang sendiri. Makan tidaklah susah didapati. Kedai makanan halal ada cuma perlu carilah. Speanjang di sana makanan ruji ialah kebab. Ada sekali makan nasi. Sampai sekarang rasa muak terhadap kebab masih tak hilang. Huh! (kebab di UK dan Europe tak sama macam kebab di Malaysia ya)

Saya terkejut apabila Italy lebih sejuk berbanding UK. Balik sahaja UK, suhu sekitar 10 degree menanti. Saya punyalah bayangkan akan dapat main salji bila balik UK. Sampai sekarang suhu masih tidak mencecah 0 degree. Kejadian luar biasa berbanding dua tahun lepas.

Layankanlah beberapa gambar sepanjang saya di Italy. Sungguh saya tak ada mood nak menceritakan 'keindahan' di Italy selepas kami dengan selamba 'didakwahkan' di Vatican City. =p


Colosseo, Roma


Pisa


Venezia

(Saya sedang bergelut mengulangkaji untuk exam 21, 23 dan 25 Januari ni. Doakan ya..)

p/s : Juga sedang menulis buku baru yang baru siap 3 bab. Fuhh!

Wednesday 14 December 2011

Berehat sebentar~

Akan ke Italy Sabtu ini. Mula bergerak ke Lapangan Terbang Stansted pada Jumaat malam. Doakan yang baik-baik sahaja. Sudah tak ada mood nak ke kelas. Oh winter! Don't be so mean.


Italy, please treat me well. Exam on 21 January? Whatever~

Thursday 8 December 2011

Twins of Faith

Sungguh, saya sudah lama tak update blog saya. Sibuk? Ya, saya agak sibuk dengan semester pertama ni. Minggu depan winter break bermula! Sebulan lebih! Dan saya seperti biasa, nak masuk minggu terakhir, pre-holiday syndrome bermula. Oh!

Tiga minggu lepas saya berpeluang menghadiri event yang besar menghimpunkan kira-kira 7 ribu umat Islam seluruh UK. TWINS OF FAITH. http://twinsoffaith.com/ Event ini dianjurkan oleh Mercy Mission sebuah badan antarabangsa yang bertujuan membantu umat Islam yang memerlukan di seluruh dunia. Boleh rujuk di sini : http://www.mercymissionworld.org/

Apa yang menariknya event ini ialah, ia juga akan diadakan di Malaysia. Ya, Malaysia! Ia akan diadakan di PICC pada 24-25 Disember ini. Saya syorkan semua yang sedang membaca blog ini supaya hadir bersama-sama.

Kenapa saya syorkan event ini?

1) Kita sudah biasa dengan ceramah/talk yang disampaikan oleh ustaz dan ustazah dari Malaysia. Inilah peluangnya untuk kita mendengar ceramah yang disampaikan oleh penceramah hebat dari luar negara. Masalah yang berlaku di Malaysia juga berlaku di negara Islam yang lain jadi kita tidak akan rasa 'disconnected' dengan apa yang disampaikan. Berada di luar negara dan berpeluang berada di event Islamik yang disampaikan oleh non-Malaysian selama ini membuatkan saya rasa saya ada sesuatu yang boleh dikongsi kepada rakan-rakan. Bagi yang tidak bepeluang seperti ini, inilah peluangnya!

2) Dalam hidup ni, kita perlu sentiasa diingatkan dan kita perlukan masa untuk muhasabah diri. Sibuk dengan kerjaya, belajar, keluarga, kadang-kadang buat kita lupa untuk mamberi hati kita makanan yang diperlukan. Apabila asyik sibuk dengan belajar, saya rasa nikmat dan puas berada di event yang terdapat beribu-ribu umat Islam yang sanggup datang bukan sahaja dari UK malah ada penceramah yang datang dari Australia dan US. Dari dalam tube untuk ke Excel London lagi sudah ramai umat Islam yang saya temui pagi itu. Sungguh saya rasa kecil!

3) Duduk di Malaysia, saya akui saya hanya tahu masalah yang berada di Malaysia sahaja. Dua tahun lalu, saya tak pernah kisah mengenai Palestine dan mengenai masalah umat Islam yang lain di seluruh dunia. Saya tak tahu. Atau yang paling tepat, saya tak ambil tahu pun! Bergaul dengan orang berlainan warganegara, bertemu umat Islam yang bukannya orang Malaysia, saya rasakan saya sungguh ignorant selama ini. Banyak perkara saya abaikan. Padahal saya belajar yang Islam itu menyatukan, Islam itu kebaikan dan Islam itu untuk semua. Twins of Faith membawa saya melihat betapa banyak lagi masalah dalam dunia Islam yang saya perlu bantu. Bukan sekadar dengar, angguk dan berlalu.

Apa lagi? Saya sukakan persembahan Boona Mohammed. Beliau seorang anak seni yang melahirkan cinta kepada Allah melalui penulisan beliau. Saya terkesan dengan satu bait ayat yang beliau sampaikan,
"Even the devil believes in God, so what does that make you?"



Berada di event yang ceramahnya disampaikan oleh manusia-manusia hebat, saya yang kecil terasa besar. Kali pertama seumur hidup menyaksikan seorang lelaki mengucapkan syahadah di hadapan ribuan manusia, hati saya tersentuh. Hati, itulah yang perlu diteliti. =)

(Dan ada kisah di sebalik event ini. Nanti kalau ada masa akan saya ceritakan)

Sunday 6 November 2011

Salam Aidiladha dari perantauan.

Aidiladha ketiga jauh daripada keluarga. InsyaAllah ia juga yang terakhir.

Duduk jauh seperti ini membuatkan saya lebih faham erti pengorbanan. Siapa yang mahu berjauhan daripada keluarga di hari raya?

Sambil tunggu kawan-kawan bersiap untuk ke masjid, saya melihat daun-daun pokok luruh. Musim luruh sudah mahu pergi memanggil si musim sejuk untuk datang.

Alangkah pantasnya masa berlalu! Monolog pagi hari raya; 'Saya sudah makin tua!'


Sunday 23 October 2011

Derma darah

Assalamualaikum semua!

Saya dah lama tak update blog. Sibuk? Boleh dikatakan. =)

Sudah tiga minggu kelas bermula. Tahun akhir ni, saya bersyukur sebab kelas tak banyak. Hari Rabu tak ada kelas. Hari Khamis satu kelas saja. Best ke? Kelas tak banyak maksudnya banyak self-study lah. InsyaAllah saya boleh!

Autumn term ni, saya ambil 3 subjek. Semua 100% final exam. Ngeri juga. Syukur tak ada projek kene buat. Degree lain ada projek tahun akhir. Degree saya tak ada. Bersyukur sangat!

Hari ni saya nak cerita mengenai pengalaman saya Rabu lepas. Kali pertama seumur hidup saya, saya menderma darah! Tiba-tiba saja pagi tu kawan saya beritahu ada NHS datang ke universiti untuk program derma darah. Setahun mereka ada datang dalam 2, 3 kali. Sebelum ni saya tak pernah ambil kisah pun. Pernah nak menderma, tapi ada halangan. Kali ni tergerak pula hati nak menderma.

Memandangkan saya tiada kelas hari Rabu, saya berjalan ke universiti pukul 11.30 pagi. Sampai-sampai ke Queen's Hall, saya diberitahu saya perlu buat temu janji untuk menderma. Temujanji? Saya pelik juga. Tapi bila melihatkan ramai betul orang yang datang, logik juga. Kalau tak buat macam tu, susah lah. Perlu tunggu lama. Temujanji boleh dibuat online untuk penderma berdaftar.

Saya dan seorang kawan saya, Zay, buat temujanji pukul 2.55 petang. Itu paling awal. Kami balik rumah semula dan datang pukul 2.30 petang. Mula-mula, kami perlu isi borang sebelum dipanggil nombor untuk mendaftar. Butir-butir peribadi diambil oleh jururawat  yang bertugas. Kemudian, kami duduk di ruang menunggu untuk proses seterusnya. Lama juga kami menunggu untuk dipanggil sebab ramai orang.

Selepas lebih 20 minit, nama saya dipanggil. Ada seorang jururawat yang melayan saya dan bertanyakan beberapa soalan. Disebabkan borang saya ada beberapa perkara yang saya tandakan 'YES', soalan jadi panjang. Saya cuma beritahu saya pernah buat imbasan MRI dan Arthrogram Februari lepas dan saya pernah menerima rawatan akupuntur di bawah kendalian Leicester Royal Infirmary. Tak ada masalah. Cuma ia perlu dicatat.

Apabila mengetahui saya dari Malaysia, beliau cepat-cepat periksa sama ada saya pernah ke Sabah dan Sarawak dan Taman Negara. Kenapa? Sebab di sana ada kes malaria. Saya tak boleh menderma jika pernah ke sana. Saya menjawab 'NO'. =D Kemudian, setitik darah saya dimasukkan ke dalam larutan biru untuk periksa kandungan zink dalam darah. Saya gagal untuk saringan pertama ni. Kandungan zink dalam darah saya mungkin tidak cukup untuk menderma, kata jururawat.

Darah saya diambil lebih banyak (satu tiub) untuk periksa kandungan zink sebenar. Keputusannya, 127! Lebih 2 dari tahap minimun. Saya mengucap syukur. Lepas untuk menderma. Jururawat tu kata, mungkin sebab berat saya tak banyak sangat, sebab tu zink tak banyak. Berat minimum untuk menderma, 50 kg. Saya lepas 1 kg lebih sahaja.

Saya duduk menunggu dua minit sebelum jururawat panggil untuk ambil darah. Berdebar! Jururawat dan volunteer yang bertugas semua baik-baik belaka. Jururawat muda yang bertugas mengambil darah saya pun menjalankan proses-proses yang perlu dengan cermat. Saya memang tak akan pandang jarum kalau doktor ambil darah. Saya pandang tempat lain. Sedar-sedar darah dah mengalir keuar. =) Jururawat tinggalkan saya selepas selesaikan semuanya sambil tunggu darah penuh.

Sambil ambil darah, ada senaman ringkas yang boleh dibuat untuk penderma ni. Genggam dan lepaskan tangan, keraskan otot kaki dan silang-silangkan kaki. Sambil baca kad yang diberi, dan mencuba senaman tu, sedar-sedar kantung darah 450ml saya sudah penuh! Jururawat lain datang dan terkejut. "You did it in 4 minutes!" katanya. Beliau dan saya sama-sama terkejut. =D

Selepas selesai cabut semua wayar, saya dan kawan saya duduk di meja makan yang disediakan. Kami dihidangkan biskut, coklat, jus, air panas dan makanan lain. Kami makan dengan gembira. Hehe.. Lepas rasa tak ada apa-apa yang pelik, kami berjalan balik.  Sampai hari ni, saya tak rasa apa-apa pun. Cuma hari selepas tu saya bersenam di gym, rasa penat yang lebih-lebihan daripada biasa. Well, mungkin ini 'after-effect' nya kot. Sikit je.

Sebelum balik kawan saya tampal pelekat "It's my first blood donation" di jaket saya! Sungguh saya rasa saya hero pada hari itu! ^_^

Saturday 1 October 2011

Terima kasih!

Alhamdulillah!

Dengan kasih sayang Allah dan sokongan pembaca Oh London!, buku ini sudah terjual lebih dua ribu naskah dalam tempoh tidak sampai 3 bulan.


Terima kasih ya Allah! Terima kasih semua!

^_^

Thursday 29 September 2011

Alhamdulillah

Syukur saya sudah sampai ke bandar Leicester pada 26 September yang lalu menaiki penerbangan Saudi Airlines. Transit 8 jam di Jeddah, penat juga. Walaubagaimana pun, saya sudah menjejakkan kaki ke Saudi!

Kali ini dapat bilik di tingkat 9. Pemandangan memang cantik. Siang dan malam. Nampak stadium Leicester Tiger dengan jelas! Bangunan universiti juga dapat dilihat untuk menaikkan semangat belajar. (eh? yeke? =p) Malam pula dihiasi dengan lampu yang tersusun indah. Walaupun perlu  tunggu lif lama, tapi ada bagusnya juga bilik di tingkat paling atas ni.

Kelas mula isnin depan (agaknya..). Masih tidak register untuk tahun ketiga lagi. Huh! Pemalas kan? ^_^

Dua hari lepas digunakan untuk mengemas bilik dan membeli barang masakan dan barang rumah. Hari ini perlu pergi bandar untuk aktifkan postpaid handphone semula dan beli sayur-sayuran.

Oh! Sudah hari Khamis!

(pemandangan dari bilik saya pagi tadi)

Tuesday 16 August 2011

Salam Nuzul Al-Quran

Hari ke-17 Ramadhan, hari Nuzul Al-Quran. Semoga kita sama-sama menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan sumber kekuatan dalam menjalani kehidupan yang mencabar.

(sumber gambar - google)

Ya Allah! Ampunkan aku yang sering alpa. 

Sunday 14 August 2011

Buku Pertama!

Sungguh saya teruja apabila memegang buku Oh London! yang saya tulis hampir setahun lalu. Dengan keizinan Allah dan kerja keras para editor PTS Pro, siap akhirnya buku saya yang pertama ini. Terima ksih saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam penerbitan buku ini. Terima kasih kepada sahabat saya, Ahmad Din yang memperkenalkan saya kepada dunia penulisan.

Pada mulanya saya hanya menulis suka-suka sebab tak ada kerja nak buat pada cuti musim panas lepas. Alhamdulillah, suka-suka menjadi sebuah buku! Semoga Allah beri saya kekuatan untuk terus menulis buku lagi pada masa hadapan. Aminn...



InsyaAllah buku ini boleh didapati di kedai-kedai buku seluruh Malaysia tak lama lagi. Saya check baru-baru ni, sudah ada di laman web MPH;
http://www.mphonline.com/books/nsearch.aspx?do=detail&pcode=9789673690947
Juga boleh dibeli di laman bookcafe, kedai buku online PTS;
http://www.bookcafe.com.my/en/remaja/oh-london.html

Saya masih perlu banyak belajar memandangkan saya penulis baru. InsyaAllah saya akan menambah baik buku-buku saya akan datang. Terima kasih atas sokongan anda semua. =)


Friday 12 August 2011

Eropah - Luxembourg

Luxembourg. Serius kali pertama saya mendengar nama negara ini ialah apabila saya nak ke sana. Saya tak pernah dengar pun selama ini. Bagi yang juga macam saya, bolehlah baca Encik Wikipedia yang banyak berjasa ini.

Negara ini keluasannya kecil sahaja. Jadi hanya setengah hari saya habiskan di sini. Saya banyak ambil gambar binaan-binaan yang termasuk dalam UNESCO sebagai sejarah warisan dunia. Orang kata (saya tak kata) orang sini sombong-sombong. Maklumlah, negara kecil tapi kaya raya. Kalau ke kedai-kedai untuk membeli barangan, pekedainya sombong. Nak pegang pun tak boleh. Saya tak pernah kena tapi saya lihat ada orang lain kena. Jadi saya, ‘no comment’.











Musim bunga ni, matahari memang terik sungguh. Lebih terik dari Malaysia tapi suhunya tak panas macam Malaysia lah. Syukur sepanjang 9 hari di sini, tak ada sehari pun yang hujan. Paling penting, perlu banyak minum air. Berbotol-botol air saya beli sepanjang di sini. Hampir 20 Euro habis hanya untuk beli air sahaja.

Selepas melawat negara kecil ni, saya dan ahli rombongan lain meneruskan perjalanan lagi setengah hari ke Switzerland. Sebuah negara Eropah berkecuali yang tidak termasuk dalam EU. Inilah negara yang saya tunggu-tunggu untuk ke sana. 

Eropah - Belgium

Tempat pertama yang saya lawati di Belgium ialah Mini Europe. Di sini dihimpunkan segala bangunan-bangunan penting di seluruh Eropah dalam bentuk replika yang kecil. Pendek kata, macam Taman Tamadun Islam di Terengganu tu lah. Ada banyak replika bangunan yang perlbagai dari seluruh Eropah. Yang saya tahu dan boleh cam sekali pandang tak banyak pula. Big Ben, Eiffel Tower, Leaning Tower of Pisa adalah antara yang saya boleh cam. Yang lain-lain, perlu baca penerangan dalam buku. Saya tak cukup banyak membaca lagi nampaknya nih..









Sungguh, Brussels ni memang panas. Terik. Lebih terik dari Netherlands semalamnya. Tapi bagi saya dah alang-alang sampai, biarlah nak hitam ke, apa ke.. Hehe.. Saya langsung tak pakai sunblock sepanjang 9 hari di Eropah. Akibatnya, belang kulit akibat terik mentari masih ada hingga sekarang. Aduhh..
Selepas habis melawat Mini Europe, saya pergi pula ke pusat bandar Brussels. Kami dibebaskan berjalan sendiri dan kembali ke bas pada masa yang ditetapkan. Yang popular di sini ada dua. Manneken Pis dan waffles. Lagi satu yang tak kurang popular ialah restoran seafood.

Manneken Pis ni ialah patung budak kecik lelali sedang buang air kecil. Memang tak senonoh lah bagi saya. Jadi saya tak sediakan gambar di sini. Boleh google sendiri dan lihat. Kecil saja patung ni. Mula-mula saya ingatkan besar tapi sebaliknya. Berkerumun orang nak ambil gambar. Saya pun sama.

Kalau sampai di Belgium ni, dan tak makan waffles nya yang terkenal dan sedap, memang tak sampai lagi lah ke Belgium. Ada pelbagai jenis topping yang boleh dipilih. Saya pilih topping paling banyak. Ada krim, coklat dan buah strawberi. Harganya 3.50 euro. Lagi sikit topping, lagi murah. Saya ambil yang paling banyak sebab rasanya akan makan sekali seumur hidup je kot. Hehe..

Lagi satu, COKLAT! Mesti kita selalu dengar coklat Belgium kan? Di sini saya beli dalam 5 kotak coklat untuk dibawa balik ke Malaysia. Sampai hari ini (13/8), masih ada lagi coklat tu tak habis-habis. Saya suka coklat tapi makan gitu-gitu je. Tak la gila coklat sampai makan selalu sangat.

Selepas penat berjalan-jalan di sekitar bandar Brussels ni, malamnya saya dan kawan-kawan tidur di camp site di dalam kawasan ‘perkampungan’. Tak tahu nak gambarkan kawasan apa sebab yang pastinya bukan kawasan bandar lah. Untungnya mengikuti budget tour ni sebab kita berpeluang bermalam di kawasan-kawasan terpencil (sebab murah) yang best. Kali ni dalam ala-ala hutan. Semalam di Netherlands, camp site yang terceruk sikit dan biliknya macam rumah kayu mainan yang comel. Siap ada arnab lari sana sini. Rasa nak sembelih dan panggang je. Hehe..


Monday 9 May 2011

Eropah - Netherlands

Cuti musim bunga yang lepas saya berpeluang meluangkan 9 hari 'bus trip' melancong ke 5 negara di Eropah. Kenapa Eropah? Jawapannya mudah sahaja. Sebab UK berada di dalam EU, jadi Eropah merupakan destinasi yang dekat dan mesti dikunjungi kalau melanjutkan pelajaran di UK. 'Jauh perjalanan, luas pemandangan'? Ini peribahasa yang tepat menggambarkan pelancongan saya kali ini.

Hari pertama, saya sampai di negara pertama iaitu Netherlands. Nama Netherland mungkin kurang popular di kalangan rakyat Malaysia, tapi jika saya sebut Holland / Belanda, mesti ramai yang tahu? Kenapa Netherlands? Holland  merupakan salah satu bahagian daripada negara Netherlands ni. Nak terang panjang-panjang, saya malas. =) Jadi saya sediakan link Encik Wikipedia kita untuk dijadikan rujukan.
http://en.wikipedia.org/wiki/Netherlands
http://en.wikipedia.org/wiki/Holland

Malam pertama saya bermalam di dalam sebuah kabin yang comel di 'camp site' yang terletak di pinggir bandar Amsterdam. Kebiasaan orang Eropah ni, memang ramai yang suka melancong menggunakan 'caravan'. Jadi memang setiap 'camp site' akan menyediakan tempat parking 'caravan' yang banyak dan perkhidmatan elektrik juga dengan kadar yang ditetapkan. Saya juga jika ada peluang, teringin mahu memiliki 'caravan'. =)

Hari pertama tidak ke mana-mana memandangkan perjalanan dari London ke Amsterdam mengambil masa yang panjang. Jadi saya dan peserta lain hanya berehat dan tidur saja malam tu. Keesokannya, lokasi yang wajib dilawati jika ke Netherlands; Keukenhof! Apa Keukenhof ni? Keukenhof ialah taman bunga terbesar di dunia dan hanya dibuka pada musim bunga sahaja. Daripada dalam bas sebelum sampai ke sini, saya dapat lihat ladang bunga tulip yang sangatlah besar dan berwarna warni macam pelangi. Tak ada kata yang boleh gambarkan pemandangan di sana.

Tapi sebelum ke sana, saya dibawa ke kilang membuat keju dan clogs. Clogs ni macam terompah lah kalau di Malaysia. Kasut yang diperbuat daripada kayu. Netherlands terkenal dengan keju dan clogs, dan berpeluang melihat cara pembuatannya, merupakan pengalaman peribadi yang bermakna buat saya.

Cheese and Clogs factory :






Keukenhof :







Saya sertakan link taman ini di sini; http://www.keukenhof.nl/

Selepas kulit muka terbakar dan hitam melawat di Keukenhof, saya sampai pula ke bandar Amsterdam. Fuhh! Penuh dengan basikal. Kebiasaan orang Netherlands, memang menjadikan basikal pengangkutan penting. Saya dapat melihat parking basikal bertingkat di Amsterdam. Satu pemandangan yang luar biasa bagi saya. =) Dan mereka menaiki basikal tua. Bukan mountain bike yang saya guna di UK ni. Basikal klasik yang tiada sistem gear sebab Netherlands tidak ada bukit dan gunung. Jalannya rata sahaja jadi gear di basikal memang tak perlu pun.

Di Amsterdam, saya menaiki water boat sebab malas nak jalan kaki. Perjalanan merentasi bandar Amsterdam melalui sungai, saya dapat lihat satu sisi lain bandar ni. Terdapat banyak rumah bot (?) di sungai-sungai ni. Saya tak tahu nak gambarkan macam mana selain dari rumah bot. Hehe.. Memang menarik!


Netherlands merupakan negara yang bebas. LIBERAL. Sebebas mana? Memang bebas sungguh lah! Kebiasaan orang di sini, mereka akan menyalakan lampu dan membuka langsir di waktu malam. Mereka tak kisah jika orang tengok apa yang mereka lakukan dalam rumah. Marijuana dijual dengan bebas di sini. Boleh minta campur dengan kopi di restoran-restoran sekitar. Dan kalau ke Amsterdam, tentulah Red Light District menjadi bualan ramai. Kawasan yang menjual seks secara terbuka. Kira  RLD ni macam Jalan TAR, ada cermin-cermin untuk tayang 'barang jualan' supaya pelanggan boleh pilih. Semuanya secara terbuka. Dan saya tegaskan di sini, saya tak pergi LRD ok! Saya dengar dan baca cerita-cerita je!

Sungguh, banyak ilmu baru yang saya dapat sepanjang berada di negara Liberal ni. Melihat masyarakat yang bebas menayangkan diri dan kehidupan seharian kepada umum tanpa rasa malu, saya bersyukur sebab dilahirkan dalam Islam yang mementingkan sifat malu dalam diri setiap manusia. =)

Wednesday 23 February 2011

Sepanyol; sebuah negara Islam yang hebat (satu ketika dahulu)

Cuti musim sejuk yang lepas, saya berpeluang bercuti ke Sepanyol, bersama lagi 7 orang rakan sempena cuti musim sejuk kali ni. Hari pertama cuti, kami sudah pun berangkat ke sana menggunakan pesawat tambang murah Ryanair berlepas dari Lapangan Terbang Birmingham. Mujur penerbangan kami tak tersekat sebab hari tu juga, salji turun dengan mencurah-curah. Kami terkandas di dalam pesawat selama 2 jam sebelum berlepas. Pengalaman yang menarik juga. Penerbangan dari lapangan terbang Heathrow dan Gatwick pagi tu, semuanya dibatalkan. Syukur sangat kami dapat juga berlepas.

Saya hanya pergi mengembara di sebuah negeri sahaja iaitu Andalasia. Di sini, kami pergi ke tempat-tempat menarik di Granada, Cordoba, Seville dan Malaga. Saya banyak pergi ke tempat keagungan Islam pada zaman kerajaan Andalus dahulu. Alhambra contohnya, dibina sebagai gambaran syurga. Terdapat 'sungai-sungai' kecil mengalir di lantai bangunan. Bukankah Allah telah berfirman, "syurga yang mengalir air dibawahnya"? Saya rasa, lebih baik jika gambar menceritakan segala. Sebab Saya tak begitu pandai memberikan gambaran tentang kehebatan negara yang satu masa dahulu merupakan kerajaan Islam Eropah yang sangat kuat.

GRANADA :






CORDOBA :









SEVILLE :












MALAGA :








Bacalah sejarah Islam di Sepanyol. Dan jangan kita ulanginya semula. Sebab Saya yakin dan percaya. Generasi akan datang akan ngilu hati mereka melihat masjid-masjid indah dan hebat berubah menjadi Cathedral seperti yang Saya rasakan sepanjang di sana.