Wednesday, 15 October 2014

Exam? No worries!

Semenjak menjadi pensyarah di Kolej Matrikulasi, saya sudah mempunyai kurang masa untuk menulis. Kesibukan yang entah bila akan berakhir nampaknya sudah tidak boleh dijadikan alasan untuk berhenti menulis terus.

Memandangkan sekarang ialah minggu terakhir sebelum peperiksaan bermula, saya sebagai seorang yang pernah menjadi pelajar (ehem!), ingin mengusulkan(?) beberapa tips untuk pelajar menghadapi peperiksaan dengan jayanya.

1. Niat

Betulkan niat. Sebelum melakukan apa-apa sahaja sekalipun, NIAT adalah paling utama. Kenapa nak belajar, kenapa nak dapatkan keputusan cemerlang untuk peperiksaan, kenapa, kenapa, kenapa? You have to know what you want.

2. Use your Mind Power.

Kuasa Minda. Pernah dengar ayat 'You are what you think?' Otak kita tidak dapat membezakan antara realiti dan fantasi. Berfantasilah bahawa anda berjaya menjawab peperiksaan dengan jayanya dan mendapat keputusan yang cemerlang. Tuliskan target anda di atas kertas dan tampal di mana-mana yang selalu anda lihat. Otak akan memproses keadaan ini sebagai satu 'keperluan' mendesak untuk mendapat keputusan cemerlang dan akan bekerja ke arah itu.



3. Study Smart.

Untuk mata pelajaran yang soalannya mempunyai 'pattern' yang sama sahaja setiap tahun, saya cadangkan untuk banyakkan membuat soalan tahun-tahun lepas. Corak soalan tidak akan begitu berubah jadi 'be smart!'. Biasakan otak dengan soalan-soalan yang lebih kurang sama. tetapi perlu diingat, soalan HOTS semakin banyak muncul setiap tahun. Pastikan ada faham apa yang anda buat. Hanya dengan pemahaman yang kukuh, soalan HOTS macam mana pun, mesti boleh jawab. Soalan HOTS menguji pemahaman penjawab soalan terhadap sesuatu topik. Masuk ke dewan peperiksaan tanpa memahami sesuatu topik boleh menjerat!



4. Rancang masa ulangkaji.

Pelajaran yang mudah, kurangkan masa ulangkaji. Subjek yang susah, tambah masa untuk lebih faham.   Basic rule! Those who fail to plan, plan to fail. Rancang sebaik-baiknya. Mengulangkaji tanpa perancangan yang strategik hanya membuang masa dan mungkin tidak  mencapai hasil yang optimum.



5. Bergantung sepenuhnya kepada Allah.

Selepas berusaha mengulangkaji, berusaha menjawab dengan sehabis baik, akhirnya segala-galanya diserahkan kepada Allah. Dia tahu apa yang terbaik untuk kita semua. Setiap keputusan, setiap apa yang kita buat, kita sendiri tak tahu adakah itu yang terbaik. Serahkan semuanya kepada Allah. Percayalah, kita layak dengan setiap keputusan yang bakal keluar. You deserve it.


Selamat Berjaya!

Hidup ni, memang untuk berpenat-penat :-)


(Kredit gambar untuk semua laman web yang upload di internet. Saya hanya copy link untuk gambar-gambar di atas)

Wednesday, 16 July 2014

Oh London! Kini di National Library Singapore

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. =)

Saya memang sudah setengah tahun tidak mengemaskini blog yang berhabuk dan bersawang ini dengan post yang baru. Tidak ada alasan sebenarnya. Lebih kepada tidak ada perkara baru yang boleh diceritakan dan saya tidak tahu apa yang boleh dikongsikan.

Selepas Andalusia Here We Come terbit, saya sedang menyiapkan buku Istanbul (yang tak siap-siap entah kenapa T__T) Doakan saya dapat menyiapkan lagi 2 bab sahaja. Dua bab yang sudah tertangguh  sekian lama kerana permulaan hidup baru saya yang mula bekerja secara rasmi April lepas. Semua tu alasan sebenarnya. Saya sendiri yang asyik bertangguh. Alahai~~

Baru-baru ini saya dihubungi oleh pihak National Library Singapore untuk meminta kebenaran meletakkan buku Oh London! di rak-rak cawangannya. Mestilah saya jawab 'YA!' Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan.





Buku ini sudah berada di Singapura! Walaupun saya sendiri belum pernah ke sana, saya amat berbangga dan suka hati kerana hasil tulisan saya mengembara ke negeri jiran yang akrab dengan dunia penulisan Malaysia.

Saya memasang impian supaya buku Andalusia Here We Come! yang menjadi sambungan buku ini juga akan boleh dinikmati oleh warga muda Singapura. Insya Allah satu hari nanti. Doakan ya?

Oh ya! Sebelum terlupa. Buku Oh London! kini bukan lagi di bawah syarikat penerbitan PTS Publications. Saya sudah meminta untuk hak cipta dipulangkan kepada saya dan persetujuan telah dicapai. Saya berdoa agar buku ini akan dikemaskini dan dicetak semula oleh penerbit lain. Doakan ya?

Banyaknya doa yang saya minta. Kan ini bulan Ramadhan! Insya Allah doa-doa daripada hamba yang baik dan mencintai Tuhannya akan termakbul. Jangan lupa doakan ya?

Terima kasih! :-)




Tuesday, 7 January 2014

Selamat Tahun 2014



Oh terlambatkah saya untuk mengucapkan Selamat Tahun 2014 kepada semua?

Saya tetap nak ucapkan

SELAMAT TAHUN BARU 2014! *bunga api*

Ok. Saya mendoakan supaya semua azam-azam anda tercapai dan tidak ditinggalkan setengah jalan. Apa pun azam yang baik, Allah akan bantu kita untuk mencapainya.

Azam saya tahun ini?

1) Ada buku baru
2) Sambung Master
3) Kerja kuat
4)........
.
.
.
.
(Ada banyak untuk disenaraikan tapi inilah yang utama)

Azam kan perlu dibuat setiap hari? :)

Hari Keempat di Nami Island

Oh sudah lama tak update blog. =)

Kali ni saya nak ceritakan perjalanan saya pada hari keempat di Korea. Saya ke Nami Island! (dan lagu Winter Sonata pun berkumandang)

Kenapa pergi sini? Dah semua orang pergi, saya pun pergilah nak tengok apa yang menarik di sini. Hi hi hi.. Tak adalah. Saya dikhabarkan yang pulau ini mempunyai pemandangan yang cantik. Mula-mula ke stesen keratapi di Lotte Mall dulu. Ha, pasaraya ni lah yang ada dalam cerita Secret Garden yang popular amat tu. Saya tak minat ceirta tahyul macam tu, jadi saya tak tengok sangat pun dramanya.



Dari sini kami ada dua pilihan. Naik KTX (ada tempat duduk dan perlu ditunggu sebih kurang sejam) atau naik sahaja tren berhenti-berhenti yang ada sekarang. Akhirnya kami buat keputusan untuk naik sahaja tren yang ada. Tapi lama juga menunggu. Setengah jam juga. Penatlah juga berdiri di platform selama itu.

Naik tren, jeng jeng! Tempat duduk penuh. Dan lagi pula, penumpang penuh dengan makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang nak balik rumah selepas bergembira di Seoul. Tak kan lah saya yang muda remaja (?) ni nak berebut tempat duduk. Makan bermulalah episod berdiri dari Seoul sampailah ke stesen untuk ke Nami Island. T__T

Sampai di stesen, kami beratur untuk menaiki teksi ke jeti untuk mengambil feri. Berdiri lagi. Oh! Sampai sahaja di jeti, nampak menara untuk bungee jumping dan flying fox (tapi boleh duduk, untuk dua orang). Flying fox ni boleh dijadikan pengangkutan untuk ke Nami Island kalau tak nak naik feri. Menarik juga. Tapi, harganya empat kali ganda daripada naik feri. Lain kalilah. Eheh?



Naik feri bersama dengan lautan manusia lain yang juga menuju ke Nami Island, saya bangga melihat bendera Malaysia berkibar di salah satu tiang bendera di atas feri. Ada berpuluh bendera negara lain dikibarkan untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong dari seluruh pelusuk dunia.

Kali pertama saya menjejakkan kaki ke daratan Nami Island, saya dapat lihat wajah musim luruh dengan lebih jelas. Banyak daun yang bertukar ke warna perang walaupun masih belum luruh. Saya selalu kagum bagaimana sebatang pokok mengalami perubahan yang berlainan pada musim yang berbeza. Pada musim panas, daun pokok hijau merimbun. Datang pula musim luruh, semua daun bertukar merah dan gugur pada hujung musim dan sudahnya meninggalkan pokok togel pada musim sejuk. Kemudian pokok-pokok ini menceriakan sesiapa sahaja dengan mengeluarkan bunga pada musim bunga. Menarik kan?

Disebabkan perut berkeroncong minta diisi, kami menuju ke salah satu restoran yang ada. Kami makan 'nasi goncang' iaitu nasi yang diletakkan bersama tuna dan telur; panas-panas di dalam bekas besi. Kemudian goncanglah bekas besi itu dengan menggunakan sarung tangan yang disediakan (tak boleh bare hand sebab panas!). Kami terlebih excited untuk menggoncang daripada makan.



Selepas kenyang, kami bebas berjalan sehingga jam empat. Menariknya Nami Island ini kerana ia menyediakan surau untuk kemudahan umat Islam. Siap dengan tempat wuduk. Sebelum berjalan-jalan, kami solat dahulu, dan kemudian bermulalah episod 'Autumn Sonata' (?) kami. Awal-awal lagi saya sudah bercadang untuk menyewa basikal kerana memikirkan masa yang tidak banyak dan penatlah nak berjalan kaki. Untuk menyewa basikal, diperlukan kad pengenalan sebagai cagaran. Pelik kan?

Saya dan Kak Diana tak bawa kad pengenalan. Siapa pula bawa kad pengenalan merata-rata di negara orang. Kawan lain sudah entah ke mana. Kami ambil keputusan untuk naik 'skybike' sementara mencari kawan-kawan yang lain. Kalau gayat, jangan naik!



Pau kacang merah yang sedang dimasak menggoda-goda jiwa yang tak kenyang lagi agaknya. Kami beli satu seorang. Sedapnya makan pau! Sejujurnya saya hanya makan pau kaya sahaja di Malaysia. Saya kurang gemar kacang merah. Tapi yang ini sedap pula. Intinya banyak dan dimakan dalam keadaan masih berasap, mengusir kesejukan yang mula menggigit.



Sambil makan jumpa pun dengan kawan saya. Saya minta pinjam kad pengenalannya dan kami berjaya menyewa dua buah basikal. Yeay! Mula-mula bawa agak kekok sebab saya menunggang mountain bike di UK. Pelik pula menunggang basikal begini. Dua jam juga kami mengayuh, berhenti ambil gambar, dan mengayuh lagi sampai jam 4.





Jam 4, kami beratur untuk naik feri ke dataran. Ramaaaaiii sangat orang sedang beratur. Kami beratur lebih sejam. Sabar jelah... Naik feri dan akhirnya sampai ke dataran dengan selamat. Disebabkan ada masalah dengan salah seorang kawan yang kehilangan telefon, kami lambat ke stesen tren dan lambat sampai semula ke Seoul. Tak mengapalah. Ada hikmah di sebalik semua perkara.

Malam ni kami makan malam yang best lagi! 'Rapuggi' = Ramyun + Dobokki. Selalu tengok juga dalam rancangan Korea. Dalam keadaan penat dan lapar, kami menikmati makan malam di restoran yang terkenal ini dengan nikmatnya. Banyak tandatangan artis di dinding restoran ini kerana kepopularannya.



Balik dalam keadaan kenyang, dan sedia untuk shopping esok!

Tuesday, 3 December 2013

Hari Ketiga di Seoul


Memandangkan semalam Istana Kyungbok tutup, jadi pagi-pagi lagi kami menuju ke istana ini menaiki bas awam. Jam sebelas sudah ramai orang. Sebelum masuk, kami menonton upacara pertukaran pengawal. Mendengar penerangan rakan saya mengenai upacara ini, saya terus teringat kawad pertukaran pengawal di Buckingham Palace, London yang pernah saya lihat dua kali. Cuma bezanya di sini, pengawal memakai pakaian tradisional pengawal zaman dahulu. Berwarna warni dan siap dengan pedang (replika) dipegang. Selepas selesai upacara, pengunjung boleh mengambil gambar dengan pengawal-pengawal itu.



Istana ini LUAS. Kalau hendak menikmati setiap sudutnya, boleh memakan berjam-jam. Kalau hendak saya umpamakan, hampir seluas Topkapi Palace di Istanbul (dengan landskap yang sangat berbeza tentunya) Musim luruh menampakkan wajahnya dengan warna daun berubah kepada oren kemerahan. Cantik. Memang cantik. Istana ini adalah antara destinasi wajib lawat jika ke Seoul.

Kemudian kami makan tengah hari di sebuah restoran pizza. Pizza School namanya. Kami makan pizza kentang dan sweet potato (tak pasti nama dalam bahasa Melayu) Sedap! Pizza sweet potato sungguh manis dan menggoda. Makanan vegetarian boleh sahaja sedap begini.



Selepas kenyang, kami ke Namsangol Hanok Village. Di sini terdapat semua jenis rumah tradisonal Korea yang dibina untuk pelancong dapat mengetahui dengan lebih dekat rumah-rumah ini tanpa perlu ke kawasan kampung. Saya suka betul apabila dapat mencuba pakaian tradisional Korea yang bernama Hanbok berwarna pink!





Kami naik bas lagi ke Namsan Tower pula. Saya sangat sukakan warga Korea yang  rajin berjalan kaki dan mendaki bukit sebagai senaman. Namsan Tower berada di atas bukit. Sepanjang dari dalam bas ke puncak bukit, saya dapat lihat ramai yang menaiki bukit ini dengan berjalan kaki sahaja. Alangkah seronoknya kalau Malaysia mempunyai bahu jalan yang mesra pejalan kaki begini.  Saya kalau hendak bersenam, perlu ke taman berdekatan rumah. Itupun kecil dan dikongsi dengan ramai orang. Haihh..

Di Namsan Tower ada Teddy Bear Museum. Sebelum masuk ke museum comel ini, saya mencari-cari tempat dan ruang yang boleh solat. Agak sukar. Cari punya cari saya jumpa bilik breast feeding. Kira ok lah. Rezekinya, ada seorang perempuan Melayu yang masuk untuk menyusukan bayinya, jadi saya dan Kak Diana tak kekok sangat. Kami solat menghadap kiblat di kerusi yang disediakan bersebelahan dengan kakak yang menyusukan bayinya. Berada di negara orang bertahun, mengembara ke negara bukan Islam beberapa kali, saya menjumpai hikmah yang besar; ‘Allah akan tolong kalau kita benar-benar mahu solat walau di mana pun.’



Selepas solat, barulah rasa lega untuk terus berjalan. Kami ke  Teddy Bear Museum yang teramatlah comel. Ambil gambar dan melihat keletah patung beruang yang bergerak dan menari. Sesiapa yang sukakan teddy bear, wajib datang sini. Rasa muda! 

Kemudian tentunya kami menaiki lif ke puncak Namsan Tower. menara ni rendah sahaja, tidaklah setinggi menara Kuala Lumpur walaupun bentuknya hampir sama. Saya sekejap sahaja berada di atas sebab hari sudah gelap. Pemandangan yang dapat dilihat ialah lampu-lampu saja.

Sebelum pulang, kami ke kawasan yang popular menjadi tempat 'couple' meletakkan padlock di situ. Biasa tengok dalam drama Korea, kan? Saya tidak mahu membazir membeli padlock, jadi hanya ambil gambar sahaja. Orang kata dah datang Namsan Tower, tulislah nama di padlock, kunci di situ. Saya? Saya rasakan ia tak perlu. Jadi saya tak buat.



Sebelum pulang, kami makan malam di restoran tempatan yang terletak berhampiran hostel. Saya memesan bibimbap, sejenis makanan korea yang ada nasi dan pelbagai jenis sayur dicampur dengan sos khas dan telur goreng. Saya sukakan sayur! Jadi hidangan ini tepat untuk saya.



Nanti saya nak cubalah makanan ni. Kalau jadi, saya post di blog ya. =)

Wednesday, 13 November 2013

Hari Kedua di Seoul

Pagi yang penuh segar kami mulakan dengan bersarapan di dapur hostel. Jumpa pula orang Malaysia! Ada seorang auntie dan anaknya berbangsa Cina yang mula-mula menegur kami. Mungkin sebab kami memang muka Melayu tulen kot. Hehe.. Banyak yang kami bualkan. Auntie tu bagi tips untuk berjalan-jalan di Seoul. Beliau memang seorang yang peramah. Sungguh, saya memang seronok apabila berjumpa warga senegara apabila melancong ke mana-mana (oversea). Rasa dekat dengan Malaysia. Nasihat saya kepada yang ingin melancong ke luar negara; kalau terjumpa orang Malaysia, ringan-ringankan bibir untuk senyum. Walaupun tidak tegur, senyumlah. :)

Hari ini lawatan bersejarah. Kami ke tempat-tempat yang bersejarah di Seoul. Banyak berjalan. Matahari memancar terik. Saya rasa seperti musim panas di UK padahal sudah musim luruh. Apa yang saya perasan ialah musim di Korea lambat sikit daripada UK. Kalau di Leicester waktu begini suhu sudah di sekitar 10 darjah Celcius.

Cadangannya kami akan ke Kyongbuk Palace tetapi apakan daya istana ini tutup pula. Jadi kami ke Gwanghwamun Square dan King Sejong Museum. Esoknya baru ke istana ini. Muzium ini terletak di bawah tanah, Masuk percuma. Di sini saya melawat sejarah tinggalan raja paling berpengaruh di Korea iaitu King Sejong. Siap tengok 4D movie mengenai sejarah seorang pahlawan Korea (saya lupa namanya). Jangan risau kerana ada sarikata bahasa Inggeris.

Saya belajar tulis nama dalam tulisan Korea di sini. Free of charge!


Kemudian kami makan di Lotteria yang ada di sekitar Seoul. Makan burger sotong atau udang sahajalah sebab itu je yang halal. Solat di Tourist Information Centre. Ada prayer hall di sini untuk Muslim. Mudahnya solat hari ni! Hari yang berikutnya agak mencabar.

Di sini ada kemudahan untuk pelancong termasuk prayer hall


Sebelum makan malam kami ke Cheongae Stream. Tentu ada yang pernah dengar mengenai sungai di Seoul yang dinaiktaraf dan dijadikan indah, bersih dan cantik . Kalaulah Sungai Kelang dijadikan sebegini, saya orang pertama yang setuju 100%! Lama kami di sini menikmati kemodenan teknologi dan keindahan sungai yang siap ada ikan dan yang paling best; berada di tengah-tengah kesibukan bandar Seoul. Saya membayangkan seronoknya dapat jogging di tebing sungai begini. Sewaktu di Leicester ada juga sungai kecil  yang cantik tidak jauh dari rumah, tapi sebab ada gym, tak pernah pun jogging di situ! Hehe... Balik Malaysia baru menyesal.


Akhirnya kami ke City Hall. Bangunan macam DBKL kot. Ambil gambar, lepak-lepak sebelum makan malam. Kawasan ni di tengah-tengah bandar dan ada padang besar di hadapannya. Saya membayangkan kalaulah ini UK, mesti penuh padang ni dengan manusia yang sun-tanning bila saja ada mataharu muncul terik.

Ada dalam salah satu episode Running Man! :)

Makan malam ni memang terbaik! Ikan bakar dan sotong masak cili. Selalu tengok dalam tv cerita Korea je. Sekali dapat makan, terbaikk! Lantaklah saya ada allergic seafood ke apa ke. Saya telan je. Oh teringinnya nak makan lagi!

Saya akan kembali untuk ini!

Saya pergi bersama kawan yang fasih berbahasa Korea jadi bab makan makanan yang halal, tiada masalah. Halal dan sedap! Jemput ke website beliau untuk pengalaman ke Korea yang santai dan makan makanan Korea yang sedap! Lurima Travel

Dalam kekenyangan, kami pulang ke hostel untuk tidur. Ah, sedapnya sotong tu!

Thursday, 7 November 2013

Hari pertama di Seoul

Saya memulakan perjalanan ke Seoul menaiki pesawat AirAsia X dari Lapangan Terbang Kos Rendah (LCCT) pada jam 8 pagi. Keluar awal dari rumah dan sarapan nasi goreng yang emak bekalkan di sana. Biasanya sebelum naik kapal terbang saya tak makan makanan berat tapi sebab awal pagi, takut gastrik pula nanti, jadi saya makan juga.

Di sana saya berjumpa pertama kali dengan Kak Diana yang menjadi room mate saya sepanjang di Seoul. Saya dapat kawan baru! Disebabkan saya sudah banyak kali menaiki kapal terbang, sekarang saya sudah tidak kisah dapat tempat duduk di mana-mana sahaja. Kalau dulu mesti saya akan pilih window seat tapi sekarang sudah tak kisah sangat.

Perjalanan ke Seoul dari LCCT mengambil masa hampir enam jam. Saya, langsung tidak tidur sepanjang perjalanan. Semuanya sebab saya tidur awal malam tu, jadi sudah tidak mengantuk. Saya habiskan masa dengan membaca dan main Candy Crush. J

 Sampai sahaja di Incheon Airport (ICN), saya dan Kak Diana melalui imigresen dan keluar ke balai ketibaan. Rakan saya sudah awal-awal berada di sana untuk menjemput kami. Perkara pertama yang kami lakukan ialah mencari prayer hall. Lama juga mencari dan akhirnya jumpa prayer hall untuk Kristian dan Buddha. Rakan saya yang mahir selok belok ICN tidak ada jadi kami tidak tahu prayer hall untuk umat Islam boleh bersolat ialah di bahagian dalam, bukan selepas keluar di balai ketibaan.

Saya beberapa kali solat di prayer hall lapangan terbang sekitar UK. Biasanya prayer hall di sana ialah Multi Faith Prayer Hall. Semua agama boleh solat di situ. Tapi di ICN, saya terkedu bila prayer hall nya diasingkan mengikut agama. Kali pertama saya jumpa. Apabila melepasi ruangan sembahyang agama Buddha, seorang pakcik yang menjaga di situ menjemput kami masuk selepas bertanya sama ada kami dari Malaysia. Saya angguk.

Dalam keadaan nak cepat, dan tak tahu mana lagi nak solat, akhirnya kami masuk melihatkan kesungguhan pakcik tadi. Dia tidak boleh berbahasa Inggeris. Namun disebabkan ‘excessive exposure’ (heh?) saya terhadap drama dan rancangan berbahasa Korea, saya faham apa yang dia cakapkan. Cuma saya tidak mampu membalas melainkan bertanya ‘di mana tandas?’ dalam bahasa Korea.

Saya ambil wuduk dan solat di situ selepas mencari kiblat menggunakan application di ipad. Saya tidak pandang kiri dan kanan langsung. Selepas siap solat, pakcik tadi bertanyakan nama kami untuk diisi di dalam buku lawatan. Saya beritahu nama saya Lisa. Nurisha mungkin susah untuk ditulis, begitu yang saya fikir waktu tu.  Kami keluar selepas mengucapkan terima kasih.

Kontroversi? Saya sendiri tidak tahu hukum solat di kawasan solat agama lain. Sungguh waktu itu saya hanya fikir hendak solat sahaja. Pakcik itu pula sungguh sungguh menjemput. Jadi? Entah.


Selesai solat kami menuju ke stesen MRT. Sistem pengangkutan awam di sini sama sahaja dengan London. Jadi saya tidak berasa asing. Dari ICN, kami menaiki MRT ke stesen Hondae untuk makan malam sebelum ke hostel. Di Hondae, rakan saya yang tinggal selama lima tahun di Korea menjemput kami. Kami dibawa ke Hello Kitty CafĂ©. Pink, pink everywhere! Saya minum Ice Americano di situ dan membuang waktu dengan mengambil gambar. Tandasnya pun cantik dan pink.  

Hello Kity Cafe di Hondae

Selepas lebih setengah jam, kami ke restoran ‘nasi goreng korea’ untuk menikmati makan malam. Nasi goreng dimasak dihadapan kami jadi kami tahu apa bahan yang digunakan. Pertama tukang masak memasukkan butter. Kemudian udang, sotong dan daun bawang. Akhir sekali baru nasi, seaweed dan sos merah. Kacau punya kacau, siap untuk dimakan!

Seronoknya makan di restoran korea ialah side dishes nya. Ada kimchi, sup lobak putih, dan kubis yang boleh ditambah-tambah. Saya suka sayur, jadi side dishes ni memang mengiurkan! Dan juga, tiada air manis dibancuh disediakan (teh ais, sirap ais, laici ais, dan lain-lain tidak ada). Yang ada hanya air kosong.  Pilihan yang sihat! (Soju, beer dan arak lain tetap ada)

Nasi goreng ini hampir serupa dengan 'paella' yang pernah saya makan di Spain.

Hondae Street berdekatan dengan Art University (saya tidak pasti namanya) jadi di sini banyak kelihatan pelajar-pelajar jurusan seni dengan pakaian yang unik dan berjalan dengan alat muzik. Pilihan pakaian, kasut dan perhiasan di sini menggetarkan naluri wanita. (Perempuan kan suka shopping!) Saya hanya bawak KRW160 = RM500 sahaja untuk belanja poket. Lagi pun tujuan utama saya bukan untuk membeli belah, jadi sekadar tengok-tengok sahaja, bolehlah.

Kenyang makan, kami ke hostel yang akan menjadi tempat tiggal selama lima malam. Hostel Korea. Budget Hotel. Selama ber ‘backpacking’ di beberapa negara sebelum ini, saya dan rakan-rakan akan memilih untuk tinggal di hostel yang murah. Bila tidak ada hostel baru kami akan tinggal di hotel. Itupun yang murah juga. Rasionalnya mudah. Hotel jadi tempat tidur dan mandi sahaja. Yang biasa-biasa sudah memadai.

Hari pertama banyak dihabiskan dengan perjalanan sahaja. Perjalanan sebenar bermula keesokan hari!